Tips Tangani Stress

Stres atau tekanan merupakan tindak balas fizikal, emosi dan mental yang dialami oleh seseorang apabila  tuntutan tidak dapat dipenuhi.

Stres boleh juga dialami bila berdepan dengan rangsangan yang tidak menyenangkan seperti bau yang busuk, bunyi yang kuat dan kata-kata yang kesat.

Sesiapa sahaja sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa dan warga emas boleh mengalami stres.

Umumnya tahap stres yang dihadapi oleh seseorang berbeza-beza mengikut beban tekanan yang dihadapi.

Stres yang sedikit atau sederhana adalah baik dan boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.

Walau bagaimanapun, stres yang berlebihan, untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani akan menyebabkan kesan negatif, dan memudaratkan kesihatan serta meningkatkan risiko terhadap penyakit.

Sebenarnya ada berbagai cara yang boleh kita lakukan dalam mengawal stres. Stres boleh dikawal secara sendiri atau pun melalui bantuan ahli keluarga atau rakan-rakan.

Seseorang yang mengalami stres boleh mengurangkan stres yang dialami dengan segera dengan cara mengamalkan kaedah 10B

Kaedah 10B ini adalah :-

  1. bertenang
  2. bernafas dengan dalam
  3. berkata `rilakslah’/ tak mengapa
  4. beribadat
  5. bercakap dengan seseorang
  6. berurut
  7. berehat dan mendengar muzik
  8. beriadah
  9. bersenam
  10. berfikiran positif

Dengan melakukan kaedah 10B,  kesan fizikal stres seperti denyutan jantung, perasaan marah, rasa gelisah, gementar, sakit kepala dan sebagainya yang disebabkan oleh tindak balas hormon adrenalin terhadap tubuh dapat dikurangkan.

Stres mesti ditangani secara berterusan bagi memastikan kita sihat dari segi fizikal, emosi dan minda

Walau bagaimanapun, kaedah 10B hanya boleh mengawal stres untuk jangka masa pendek.

Punca stres perlu dikenal pasti dan tindakan susulan perlu diambil untuk mencari jalan penyelesaian kepada punca stres tersebut. Anda juga boleh mengamalkan kemahiran daya tindak yang bersesuaian untuk menangani stres anda.

Edit by: SITI SEHA

(Sumber://www.myhealth.gov.my/cara-mengawal-stres/)